Protected by Copyscape Unique Content Checker

Thursday, November 17, 2011

Satu Pinjaman Yang Berharga Untuk Diriku

Gambar Sekadar Hiasan
Hari itu angin kelihatan kuat bertiup. Tidak seperti selalu yang hanya sepoi-sepoi bahasa. Seorang perempuan tua dalam lingkungan 50-an senang duduk termenung dibangku sambil memerhatikan suasana di luar. Kelihatan ayam-ayam sedang mencari makanan di pagi itu. Kelihatan juga berbagai-bagai jenis sayuran yang menjadi hiburan bagi orang tua itu. Dia tak seperti selalu. Sungguh jauh renungan dia kali itu. Siapa sangka itu adalah kali terakhir dia duduk dibangku itu. Tiada siapa yang dapat membaca apa yang akan terjadi seterusnya. Seorang insan yang sejak kecil telah membesarkan aku, menyuapkan aku dengan makanan, memandikan aku dan juga menjaga aku seperti menatang minyak yang penuh. 

'Adik belajar betul-betul. Jangan buat benda yang bukan-bukan. Mak tak minta banyak, mak cuma nak adik berjaya.' 

Setiap kali aku teringat pesanan itu pada waktu-waktu sebegini membuatkan seringkali menitis air mata ini dengan sendiri. Bukan ku teran, bukan ku sedih. Tapi aku hiba bila terkenang kenangan aku bersamanya. Walaupun dia hanya berpangkat mak cik untukku, tapi dia telah membesarkan aku dan gelaran emak lebih sesuai untuk dia kerana itulah panggilan yang aku seringkali panggil sejak aku kecil. Dan aku membiasakan diri sebagai adik apabila dengan dia. Tiada beza antara anak-anak kandungnya dan juga aku. Tidak pernah aku rasa seperti orang asing apabila bersama dengannya dan keluarganya.

Dia seorang yang sangat pemurah. Sukar untuk aku gambar kan dengan kata-kata tentang sikapnya. Dia tak pernah sama dengan orang lain yang aku kenal. Setiap manusia yang singgah di depan pintu rumahnya akan dijamu dengan pelbagai makanan. Dia kelihatan seronok apabila ada orang yang singgah di rumahnya. Tak pernah ku lihat dia bermasam muka dengan sesiapa. Dia seorang yang sempurna buatku. Seorang ibu yang terbaik. Saat ini, terlampau deras air mata yang kurasakan.

Dia telah lama bertemankan jarum insulin dan juga ubat-ubatan. Kemurungan turut dihadapi beliau kerana dia tidak bisa bergerak bebas seperti manusia normal yang lain. Tapi masih digagahkan juga kaki untuk terus melangkah diatas bumi yang menjadi tempat tumpangan sementaranya. Aku dapat menjaganya disaat-saat akhir hidupnya di hospital dimana tempat dia selama 15 tahun berulang-alik. Dia kelihatan sudah bosan menghadap ubat-ubatan tapi itulah yang menjadikan dia lebih kuat dari insan biasa yang kebanyakan lebih percaya kepada ubatan tradisional. Ayah yang banyak memberikan dorongan dan membantu dia. Aku tidak dapat bayangkan sekiranya aku berada ditempat ayah. Dulu ayah kelihatan gagah dan menjadi idola setiap ahli keluarga. Katanya tiada dibantah kerana setiap keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk semua. Kini ayah telah kelihatan tua dan semakin lemah. Aku mengharapkan tuhan meminjamkan ayah lebih lama dari dia meminjamkan emak kepadaku. 

Tapi dalam kehibaan yang aku rasakan, aku masih bersyukur kerana aku dapat buat yang terbaik untuk dia disaat akhir hayatnya. Aku dapat mengucup dahinya walaupun saat itu dahinya telah sejuk dan berbau air mawar. Aku dapat bersembahyang bersama-sama kepada mayatnya dan juga aku dapat mengiringinya hingga ke tanah perkuburan.

Kini, seorang anak telah kehilangan emaknya. Seorang anak saudara telah kehilangan mak ciknya. Seorang kakak telah kehilangan adiknya. Seorang adik telah kehilangan kakaknya. Satu pinjaman telah ditarik kembali. Mungkin suatu hari nanti kita akan berjumpanya di sana. Saat ini surah al-fatihah yang lebih afdhal untuk disedekahkan kepadanya. Semoga roh Rukiah binti Jantan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

P/S : Sayangilah ibu anda kerana kasih sayang ibu membawa ke syurga.

Tuesday, November 8, 2011

Angin Yang Berlalu Bersama Kamu

P/S : Rindukan pelukan dari dia.

Dah lama dah aku lupa apa itu erti menulis blog. Entah kenapa, tiba-tiba hari nie aku terasa satu magnet yang kuat menarik aku untuk kembali menulis. Blog yang semakin hari semakin kusam. Entah lah, baru kini aku akui yang aku bukan orang seni. Ya, bukan orang yang berfalsafah tinggi. Aku pasti bila engkau tergolong dalam golongan sebegini engkau akan terasa seperti berada di planet lain. Mungkin aku bukan dari jenis mereka. Hanya sebagai makhluk asing kelas bawahan. Aku cukup hormat dengan mereka kerana mereka dapat menyebarkan karya mereka sehingga ke serata Malaysia dan akan datang mungkin ke serata dunia. Itulah dia mukadimah setelah lama aku tak menulis di blog ini. Aku tak mengharapkan pembaca, tapi jika satu hari nanti aku tiada, hanya ini yang tinggal sebagai kenangan.

Kadang-kadang aku lupa siapa aku. Aku lupa dari mana asal aku. Aku lupa orang-orang disekeliling aku. Aku lupa orang-orang yang sentiasa ada untuk aku suatu ketika dulu. Aku rindukan diri aku yang sebenar. Kenapa sekarang aku rasa aku sedang menumpang dalam badan orang lain? Aku hanya cuba menjadi diri aku. Semakin hari masa semakin berlalu. Kanak-kanak semakin membesar. Remaja semakin dewasa. Orang-orang dewasa pula akan menjadi tua. Itulah norma hidup dan kemudian akan meninggalkan dunia. Hanya 3 perkara yang dibawanya, amal ibadat, sedekah jariah dan doa anak-anak yang soleh/solehah. Satu demi satu mereka yang aku sayangi pergi meninggalkan aku. Entahlah, terasa hidup kini kosong. Terasa baru semalam aku melihat wajahmu. Kini segalanya sudah berakhir.

Bodoh juga aku ada kalanya, sibuk mencari tetapi terlupa yang ada disisi. Aku kenal dia. Aku tahu siapa dia. Tuhan sudah buat perancangan untuk aku ditemukan bersama dia tapi aku sibuk mencari sesuatu yang tidak pasti. Kalaulah aku tahu ini yang akan berlaku, lebih awal lagi aku cari dia. Aku tinggalkan dia, tapi dia tak pernah meninggalkan aku. Baru kini aku sedar apa itu kasih sayang yang sebenar. Cinta dan kasih sayang dua benda yang berbeza. Dan aku kini cuba untuk kenal kedua-duanya.

P/S : Al-fatihah untuk arwah Rukiah bte Jantan. Aku akan dedikasikan beberapa post untuk mak satu hari nanti. Dan untuk awak, saya sayangkan awak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...